JOHOR BAHRU - Kelab Media Johor mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas diisyhtiharkan selaku Menteri Besar Johor yang baru, 14 Mei lalu.
Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, bekas Menteri Pengajian Tinggi itu merupakan calon yang tepat bagi menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman untuk memimpin negeri ini.
Menurutnya, diharapkan Mohamed Khaled yang disifatkan sebagai 'mesra media' dapat memartabatkan jalinan hubungan baik antara kerajaan negeri bersama media cetak dan media elektronik Johor.
"Mewakili semua pengamal media di negeri ini, saya mengucapkan tahniah kepada beliau (Mohamed Khaled) kerana dipilih sebagai Menteri Besar Johor ke-15.
"Sepanjang bergelar sebagai ahli parlimen dan berada dalam Kabinet kerajaan, beliau mudah didampingi seterusnya memberi kerjasama kepada pengamal media di Johor.
"Hubungan sedia terjalin antara beliau dan pengamal media diharapkan dapat diteruskan sekali gus ditambahbaik sepanjang memimpin kerajaan negeri," katanya, di sini semalam.
Mohamad Fauzi berkata, ucapan tahniah juga diberikan kepada sembilan wakil rakyat yang dipilih selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco). Katanya, pengamal media bersedia untuk memberikan kerjasama dalam memberi liputan kepada Menteri Besar dan barisan Exco untuk penggal kali ini.
"Kami amat berharap pihak Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri juga dapat memberikan kerjasama yang baik kepada pengamal media dalam membantu membangunkan Johor ke arah lebih baik pada masa akan datang.
"Pada masa sama, diharapkan kerajaan negeri di bawah tampuk kepimpinan Menteri Besar baru dapat turut sama memberi tumpuan kepada keperluan Kelab Media Johor dari masa ke semasa," katanya.