Thursday, 13 August 2015

Majlis Penutup Kembara Mahkota Johor 2015



JOHOR BAHRU - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 melabuhkan tirainya, hari ini, selepas empat hari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendampingi rakyat dengan menempuh perjalanan sejauh 858 kilometer di seluruh Johor.

Majlis Penutup dianjurkan di Hutan Bandar MPJBT Mutiara Rini, di sini.

Turut berangkat hadir ke majlis berkenaan adalah Permaisuri Johor, tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta paduka anakanda baginda Tuanku.



Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor; Ahli Dewan Undangan Negeri Johor (ADUN); ketua-ketua jabatan serta rakyat negeri ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disusuli dengan nyanyian lagu Bangsa Johor dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato Mohd Tahrir Samsudin.

Majlis diteruskan dengan sembah ucapan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diikuti penyampaian cenderahati dan majlis santapan.

Dalam ucapan berkenaan, Mohamed Khaled merafakkan rasa syukur sekembalinya Sultan Ibrahim berserta rombongan kembara dalam keadaan selamat.



Menurutnya, warga Johor bangga dan gembira kerana baginda Tuanku bersama keluarga diRaja tanpa gagal setiap tahun menyantuni rakyat di negeri ini, dengan penuh keikhlasan.

"Peluang bertemu dengan sosok tertinggi negeri, kepada rakyat kebanyakan adalah pengalaman paling istimewa yang pasti dikenang seumur hidup.

"Bukanlah mudah untuk menggambarkan betapa besarnya hati rakyat jelata bila berkesempatan bertemu dengan Sultan Johor yang sangat mereka kasihi.

"Dan yang lebih tersemat di dalam sanubari ialah kerana Tuanku dan keluarga diRaja mencemar duli, menjenguk mereka di tanah halaman mereka," katanya di sini hari ini (semalam).



Mohamed Khaled berkata, KMJ menzahirkan dan mewakili beberapa manifestasi yang unik, bermakna, istimewa dan tersendiri.

Katanya, kembara berkenaan merupakan manifestasi sebuah pemerintahan yang sentiasa mengutamakan segala kepentingan rakyat; manifestasi betapa kukuh dan dekatnya institusi raja di hati rakyat jelata.



"Kembara ini membuka ruang untuk semua pihak menambah baik, segala perkhidmatan dan amal dan bakti kepada rakyat.

"Ia manifestasi sistem nilai yang menjadi pegangan serta keperibadian DYMM Tuanku serta keluarga diRaja Johor jua," katanya.

Beliau berkata, segala keunikan itu sekali gus menunjukkan bahawa program-progfam diRaja tidak terhad dalam persekitaran rasmi, penuh protokol atau upacara tertentu sahaja.



"Sejak sekian lama, hubungan istana dengan rakyat di Johor diketahui istimewa dan intim. Istana acapkali muncul sebagai institusi membela dan mengutamakan kemaslahatan sekalian rakyat Johor.

"Dari segala pemerhatian Tuanku, segala telah didengar dan disampaikan kepada Tuanku oleh rakyat jelata, panjangkan dan maklumkan ia kepada patik agar patik dan seluruh jentera pentadbiran boleh membantu menyelesaikan mana yang kurang, menambah mana yang perlu dan memperbaiki mana yang silap," katanya.



KMJ kali ini yang bertemakan 'Muafakat Bangsa Johor' menyaksikan Sultan Ibrahim menggunakan motorsikal dan bas menjelajah seluruh negeri ini, sejak 10 Ogos lalu hingga hari ini.

Kembara yang sudah memasuki tahun ke-15 dan edisi ke-18 itu diadakan untuk merapatkan hubungan antara rakyat, pemimpin dan Istana Johor serta mendekatkan perhubungan antara kaum yang ada di negeri ini.




Tuesday, 11 August 2015

KMJ Temukan Pemimpin Negara



MUAR - Kemeriahan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015, hari ini, diteruskan dengan keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Padang Awam Lenga, di sini.

Turut berangkat tiba, Permaisuri Johor, tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta Putera-Putera baginda.


Turut kelihatan berada di Padang Awam Lenga adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Lokasi KMJ 2015 di Padang Awam Lenga, di sini, cukup istimewa apabila menjadi medan pertemuan Ahmad Zahid bersama Muhyiddin dalam satu majlis rasmi secara bersama.


Sementara itu, sebaik sahaja rombongan tiba di lokasi sekitar jam 11.35 pagi, Raja Zarith Sofiah menyampaikan sumbangan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Permaisuri Johor kemudiannya melawat booth Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor diikuti pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menyaksikan hasil kraftangan pembuatan Orang Asli dan menyumpit.

Baginda Tuanku seterusnya berangkat ke khemah santapan untuk majlis santapan sambil diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM1 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan RM1 juta kepada Tabung KMJ 2015.


Selesai sembah ucapan oleh Pegawai Daerah Muar, Muji Salimon dan persembahan cenderahati kepada Sultan Ibrahim, rombongan KMJ kemudiannya berangkat ke Kampung Sri Gajah, Chaah, Segamat.

Terdahulu, Muji dalam sembah ucapannya merafak sembah di atas keberangkatan Sultan Johor, Permaisuri Johor, Tunku Mahkota Johor serta anakanda baginda Tuanku ke daerah Muar sempena KMJ 2015.
Menurutnya, kembara yang dianjurkan saban tahun menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturrahim antara rakyat jelata dengan institusi DiRaja Johor.
"Sememangnya keberangkatan tiba DYMM Sultan Ibrahim dinantikan oleh seluruh rakyat khususnya di daerah Muar.
"Kami berasa amat berbangga dan bertuah di atas perkenan DYMM Tuanku berangkat ke daerah Muar.
"Kembara Mahkota Johor menjadi satu wadah ke arah perpaduan kaum sekali gus bertepatan dengan tema penganjuran kali ini iaitu Muafakat Bangsa Johor.
"Ia sekali gus membuktikan DYMM Tuanku amat mementingkan perpaduan kaum di negeri ini iaitu Melayu, Cina dan India," katanya.

Berhujan Demi Rakyat




MUAR - Hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015, bermula dengan rombongan diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mula dilepaskan dari Tangga Agong, Bangunan Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Maljlis pelepasan yang disempurnakan oleh pegawai daerah, Muji Salimon disaksikan oleh kira-kira 3,000 penduduk setempat dari pelbagai lapisan masyarakat di sepanjang 500 meter laluan tersebut.

Kesemua peserta kemudiannya menuju ke lokasi pertama, SMK Persisiran Perdana, Ledang bagi majlis pertama dalam tempoh sejam sebelum ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Ledang.
Rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Paya Redan untuk sesi beramah mesra bersama penduduk diikuti Majlis Santapan di Padang Awam Lenga, Muar.
Di Padang Awam Lenga, dijangkakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor bersama rombongan KMJ 2015.


Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri kemudiannya bersama Sultan Ibrahim dan rombongan KMJ singgah ke Dataran Labis, Segamat sebelum ke Kampung Sri Gajah, Chaah, Segamat.
Selesai selama 60 minit di Chaah, konvoi tanpa Ahmad Zahid menuju ke Pekan Kangkar Baru, Batu Pahat dan Kampung Melayu Batu 3 1/2 Paloh sebelum Sultan Ibrahim berangkat ke Kem Batalion Ke-5 RAMD Batu 3, Kluang untuk bersemayam.
Keseluruhan, Sultan Johor yang bermotorsikal akan menempuh perjalanan hari kedua sejauh 235 kilometer.

Monday, 10 August 2015

Kembara Mahkota Johor 2015 Bermula




Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 membuka tirainya hari ini dengan menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan program selama empat hari bagi menjelajah seluruh pelusuk negeri ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri baginda.

KMJ tahun ini yang memasuki edisi ke-18 memulakan perjalanan sejauh 858 kilometer ke 10 buah daerah di negeri ini bagi merapatkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat jelata.

Program bertemakan 'Muafakat Bangsa Johor' itu diketuai oleh Sultan Ibrahim yang menunggang motosikal Harley Davidson Street Glide dan disertai peserta konvoi yang terdiri daripada kerabat-kerabat diraja dan pegawai kerajaan.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut yang amat dinantikan rakyat Johor berbilang kaum tidak dinafikan dapat merapatkan hubungan antara istana dengan rakyat negeri ini.

"Penganjuran KMJ sejak 15 tahun lalu, dilihat dapat mengeratkan hubungan baik antara istana dan rakyat untuk memperkukuhkan institusi raja berpelembagaan. Ini merupakan peluang yang dinantikan rakyat untuk bertemu Sultan.



"Rakyat di negeri ini perlu merasa bertuah kerana mempunyai sultan prihatin terhadap perkembangan rakyat di setiap daerah,"katanya pada Majlis Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2015 di perkarangan Laman Diraja Pontian, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim dan barisan exco kerajaan.

Majlis pelepasan konvoi kembara yang disertai Sultan Johor, Tunku Ismail dan anakanda yang lain disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Aziz.

Khaled berkata, program berkenaan yang dijalankan setiap tahun juga mampu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.